Perdana Menteri berkata, perkara pertama ialah rakyat perlu menilai siapakah yang selama ini telah terbukti mampu menjaga keharmonian negara sejak merdeka meskipun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa.

Beliau berkata, hubungan serasi antara setiap kaum di negara ini tercapai kerana kerja keras kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui dasar yang berkesan sehingga mewujudkan satu ikatan toleransi antara rakyat yang mempunyai budaya berbeza.

“Kedua, siapa yang akan menentukan kestabilan negara kerana kestabilan ini adalah punca kita boleh buat apa sahaja untuk rakyat, tanpa kestabilan politik mana mungkin ada hubungan baik ini serta tidak mungkin ada kerjasama baik antara Kerajaan Pusat dan negeri selama ini.

“Bila kita berdepan pilihan raya, fikirlah siapa yang dapat memberi faedah kepada kita untuk mencapai impian, cita-cita dan kehendak kita,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau di dataran Majlis Perbandaran Tawau di sini malam ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan isteri, Puan Sri Faridah Tussin; Ahli Parlimen Tawau, Datuk Mary Yap Kain Ching; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Syed Abas Syed Ali dan Naib Ketua UMNO Bahagian Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Perdana Menteri berkata, perkara ketiga ialah rakyat mesti menilai siapa yang mampu menjaga keamanan negara terutama di pantai timur Sabah daripada ancaman asing dan jenayah rentas sempadan.

“Saya sebagai pemimpin sentiasa memberikan komitmen untuk terus menjaga keamanan di pantai timur Sabah, saya akan terus pertahankan rakyat Sabah dan setiap inci bumi Sabah,” katanya.

Menurut Najib, kemajuan ekonomi dan keupayaan serta kesungguhan kerajaan untuk berkongsi kek kekayaan ekonomi kepada rakyat adalah perkara keempat yang perlu dipertimbangkan demi memastikan rakyat dapat hidup aman dan selesa sepanjang masa.

Jelas beliau, bagi mencapai perkara itu, kerajaan BN pimpinannya telah membuat dasar bahawa setiap hasil negara tidak perlu disimpan sebaliknya diagihkan kepada rakyat yang memerlukan iaitu melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan ditambah serta pelbagai lagi bantuan lain.

“Falsafah saya sebagai ketua kerajaan ialah kalau hasil bertambah kita mesti agih kepada rakyat, mesti bantu rakyat sebab itu bila punca pendapatan bertambah dengan pengurusan kewangan cekap hasil kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST), cukai individu dan syarikat, saya cakap jangan simpan tetapi beri pada rakyat.

“Mudah-mudahan ini akan beri keceriaan kepada rakyat kerana sebagai pemimpin saya selalu sebut, kita mesti rasa denyut nadi rakyat, kita mesti bantu rakyat dan inilah komitmen BN iaitu tunaikan janji untuk rakyat,” tambahnya.