Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, mereka perlu terbuka dan rela hati menerima calon yang dipilih kerana apa yang lebih penting adalah kemenangan kepada parti.

Justeru katanya, semangat perpaduan dalam kalangan ahli perlu segera diperkukuhkan dengan mengambil iktibar daripada dua pilihan raya terdahulu di mana Barisan Nasional (BN) kehilangan banyak kerusi disebabkan masalah tersebut.

"Sebelum ini apabila calon tidak terpilih dalam kalangan kita, ada yang tidak menyokong, bergaduh sesama sendiri. Apabila kalah, kita tahu sedih, menangis.

"Jadi, sesiapa sahaja yang menjadi calon kali ini, kita perlu terima dan saya pasti kemenangan akan menjadi milik kita," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jeli di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Jeli merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jeli, Datuk Abd. Aziz Derashid dan seluruh kepemimpinan UMNO bahagian tersebut. - UTUSAN ONLINE