Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, ketika ini beliau melihat parti pembangkang mengambil alih peranan memperjuangkan isu rakyat yang sebelum ini dilakukan oleh parti-parti dalam pakatan itu.

Menurut beliau, pembangkang membentuk pemikiran rakyat dengan menggunakan sentimen agama dan kaum untuk kepentingan politik mereka.

“Saya lihat ketika ini sudah ada hashtag (tanda pagar) #PHKerajaanSepenggal. Saya bimbang kalau tidak lakukan sesuatu, kita mesti elak hanya jadi kerajaan sepenggal.

“Kalau rakyat boleh ubah kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mereka juga boleh ubah sekali lagi dalam PRU-15,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Bersatu Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Mukhriz menambah, PH perlu kembali dengan kaedah dan cara kerja sebelum ini yang mengutamakan rakyat di pe­ringkat akar umbi.

“Saya sarankan supaya balik kepada cara lama, turun ke akar umbi beri penerangan kerana kuasa ada dalam tangan rakyat. Kita kena bergerak seperti pertubuhan bukan kerajaan.

“Kita juga perlu sedar bahawa perang sebenar hari ini menggunakan aplikasi Whats­App serta media sosial dan mesti memanfaatkan kemudahan itu,” katanya.