Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, secara tidak langsung ia juga dilihat sebagai mengingkari titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang masjid digunakan bagi tujuan politik.

Jelas Noh, berbeza ketika era Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ini dilihat memperalatkan sepenuhnya pengedaran akhbar itu di masjid bagi tujuan kepentingan politiknya tanpa mempedulikan titah Sultan Sharafuddin.

“Apa yang dilaporkan sekarang kandungan Selangorkini adalah program Menteri Besar bersama rakyat di negeri lain seperti Kedah dan Johor, berkaitan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan peletakan calon Perdana Menteri.

“Kita hairan sejak bila rakyat negeri ini membayar cukai di negeri lain. Sekiranya, Mohamed Azmin hendak berkempen, guna akhbar Keadilan bukannya Se­langorkini untuk berkempen,” katanya kepada pemberita dalam Program Turun Padang Kampung Sri Tiram Jaya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, sisipan berita akhbar Selangorkini seharusnya lebih banyak melaporkan berkaitan pembangunan di Selangor, bukannya politik.

Menurutnya, Selangorkini dibiayai dengan duit rakyat, namun malangnya berita yang dilaporkan tiada kena mengena, bahkan dijadikan medium untuk berkempen.

“Kita tidak menghalang kerajaan negeri menerbitkan akhbar kerana mengamalkan kebebasan suara tetapi jangan menyalahgunakan duit rakyat untuk kempen politik.

“Selain itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu bertegas dan melakukan pemantauan kerana mereka menggunakan masjid sebagai kempen dan sekiranya dibiarkan, JAIS juga akan dilihat mengabaikan titah Sultan Selangor,” ujarnya.