dyana sofea
Dyana Sofya

Bekas Setiausaha Organisasi DAP Bahagian Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman berkata, tindakan tersebut juga membuktikan bahawa DAP tidak mempunyai pemimpin muda berkaliber yang mampu menerajui negara sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, Dyana Sofya hanya mahu mencetuskan persepsi dan mencari populariti serta menunjukkan kepada DAP kononnya dia melakukan kerja, walaupun pada hakikatnya tidak tahu apa-apa mengenai ekonomi.

“Apa yang pelik adalah Dyana Sofya ini tidak mempunyai ilmu pun dalam bidang ekonomi, tiba-tiba mahu mengeluarkan kenyataan sedemikian pula.

“Inilah masalahnya apabila dia sudah ketandusan idea dan tidak tahu apa lagi untuk dijadikan isu. Pemimpin DAP ini hanya mempunyai satu tujuan sahaja iaitu menghasut rakyat Malaysia, betul atau tidak perkara berkenaan itu tidak penting bagi mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dyana Sofya telah memuat naik gambar memaparkan ‘Why GEN Y must worry about another 5 years of PM Najib (Mengapa Generasi Y harus berasa risau dengan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selama lima tahun lagi) dalam akaun Facebook miliknya 28 Februari lalu.

Status itu antara lain menyebut bahawa Perdana Menteri telah mengumpul hutang hampir RM1 trilion yang harus ditanggung oleh 44 peratus atau 13.72 juta anak muda negara iaitu kira-kira RM72,886 seorang.

Dyana Sofya turut mendakwa hutang berkenaan akan terus meningkat sehingga RM2 trilion pada tahun 2025 dengan 13.72 juta anak muda tersebut akan menanggung 75 peratus daripada jumlah pembayaran kembali hutang itu.

Pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, setiap negara mempunyai bebanan hutang dan Malaysia tidak akan menjadi sebuah negara bankrap seperti Greece atau Venezuela kerana mempunyai kedaulatan monetari yang membolehkan kita mengawal sendiri aliran keluar masuk duit.

Menurut beliau, dakwaan Dyana Sofya itu sebenarnya tidak berasas kerana sekiranya kerajaan membuat hutang sebanyak RM40 billion setiap tahun selama tujuh tahun sekali pun, jumlah hutang kerajaan hanya akan bertambah kepada RM900 bilion, bukan RM2 trilion.

“Sebahagian besar hutang kerajaan dipegang oleh institusi kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dengan kerajaan akan membayar faedah ke atas hutang itu yang mengalir kepada rakyat dalam bentuk dividen.

“Kerajaan hanya mempunyai kira-kira 23 peratus hutang di luar negara dengan 98.8 peratus hutang tersebut adalah dalam nilai ringgit.

“Malaysia juga mempunyai RM1.734 trilion aset di luar negara manakala Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai rezab hampir RM400 bilion, jadi kita sebenarnya berada dalam kedudukan ekonomi yang amat stabil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE