DYANA SOFYA
DYANA SOFYA

Tidak membuat sebarang penafian meskipun gambar itu didakwa mirip beliau, Dyana Sofya (gambar) sebaliknya berkata, beliau tidak mempunyai masa untuk melayan serangan tersebut atau menyimpan dendam.

“Ini adalah serangan peribadi yang ketiga dalam tempoh dua bulan terhadap saya.

“Saya anggap pilihan raya umum sudah sangat hampir. Tidak kiralah siapa yang ada dalam gambar atau video yang mereka dakwa itu saya, ini adalah pencerobohan privasi utama dalam kehidupan individu itu,” katanya dalam satu kenyataan menerusi media sosial semalam.

Dyana Sofya yang juga Setiausaha Politik kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Zairil sekali lagi menjadi tumpuan selepas empat gambar intim dan mesra yang mirip mereka tersebar di laman sosial sejak semalam.

Gambar itu menunjukkan kedua-dua individu berkenaan yang didakwa mirip mereka saling merangkul mesra antara satu sama lain termasuk bercumbu.

Ini merupakan kali ketiga penyebaran gambar dan video mesra yang dikaitkan dengan kedua-dua pemimpin Melayu DAP itu, namun tiada pengakuan pernah dibuat sama ada oleh Dyana Sofya atau Zairil.

Tahun lalu, beberapa gambar dua individu yang mirip mereka sedang berpelukan mesra di dalam kereta juga tersebar di laman sosial, selain satu klip video individu yang mirip mereka sedang menari turut disebarkan bulan lalu.

Dalam pada itu, Zairil sehingga kini tidak membuat sebarang kenyataan berhubung penyebaran gambar terbaharu yang dikaitkan dengannya dan beliau juga gagal dihubungi.