Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, mesyuarat bagi membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih hanya akan berlangsung lusa.

"Kita belum ada dan belum membincangkan lagi tentang soal siapa calon, senarai pendek juga belum ada. Kalau ada pun, itu hanyalah cakap-cakap kedai kopi kerana UMNO Selangor hanya akan bermesyuarat Khamis ini.

"Insya-Allah Pengerusi Badan Perhubungan negeri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memaklumkan mengenai perkara berkaitan selepas mesyuarat itu nanti," katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Kerusi DUN Semenyih kosong selepas penyandangnya, Bakhtiar Mohd. Nor, meninggal dunia Jumaat lalu akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum lalu, Bakhtiar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengalahkan penyandang terdahulu dari Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Johan Abdul Aziz.

Ia adalah pilihan raya kecil keempat di Selangor dalam tempoh lapan bulan selepas DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong yang semuanya memihak kepada Pakatan Harapan (PH). - UTUSAN ONLINE