Perubahan itu antaranya adalah dari segi pelancongan yang menyaksikan kewujudan Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah yang terkenal sehingga di luar negara dan pelbagai lagi produk seperti ‘Deerland’.

Malah kawasan yang merupakan pusat titik tengah Semenanjung Malaysia akan mengalami lonjakan pembangunan de­ngan pelbagai perancangan yang direncana.

Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Lanchang, Datuk Se­ri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, selain pelancongan, kawasan tersebut bakal menikmati limpahan ekonomi daripada sektor industri dengan kewujudan hab perabot nasional di Kampung Sempadan dalam masa terdekat.

Kata beliau, hab perabot yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) itu melibatkan kos pembangunan awal kira-kira RM1.3 bilion.

“Pada masa ini, FRIM me­ngenal pasti Kampung Sempadan untuk membangunkan hab perabot nasional. Pemba­ngunan hab perabot yang meliputi pembinaan Kampung Perabot ini pastinya dapat me­lonjakkan ekonomi penduduk sekitar.

“Dijangkakan sehingga 10,000 peluang pekerjaan baharu dapat diwujudkan,” katanya di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu Mohd. Sharkar berkata, pembinaan jambatan baharu bernilai kira-kira RM5 juta di Kampung Kuala Kaung di Lanchang juga menjadi titik perubahan pembangunan di kawasan itu.

Beliau yang juga Pe­ngerusi Jawatankuasa Pe­­lanco­ngan dan Kebuda­yaan negeri berkata, pem­­binaan jambatan itu juga membantu mewujudkan pe­nempatan ­baharu.

“Jambatan ini menjadi perhubungan penting ke­rana di seberang sungai itu banyak tanah-tanah milik persendirian dan kerajaan boleh dibangunkan terutama untuk pembesaran kampung,” katanya.