Haron Kasanviroyo, 82, yang juga pengundi tegar Barisan Nasional (BN) itu berkata, pada tahun 1974 hingga 1990 dia mengundi arwah Kamisan Ashari sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan.

Kini, undi berharga Haron diberikan pula kepada anaknya, Datuk Zulkurnain yang akan mempertahankan kerusi tersebut bagi penggal kedua pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Dahulu saya undi bapanya sekarang anaknya pula, perangai beliau sama macam bapanya, mesra dengan orang dan yang paling penting menghormati individu yang lebih berumur daripadanya,” katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.

Pada PRU-14, Zulkurnain yang juga Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong ditentang calon PKR, Mohd. Ajib Omar dan calon Pas, Sallehudin Ab. Rashid

Zulkurnain meneruskan tugas ADUN Sri Medan sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bagi menggantikan Datuk Ahmad Zahri Jamil yang menjadi wakil rakyat di situ sejak 1990 hingga 2013. - UTUSAN ONLINE