Memang sinis komen tersebut tetapi benarlah seperti kata-kata terkenal, sejarah ditulis pemenang, yang kalah hanya menulis puisi. Ungkapan ini turut digunakan bekas Perdana Menteri Britain yang terkenal, Winston Churchill.

Namun sebagai negara yang ditadbir secara Rule of Law, komen itu hanyalah satu persepsi warganet susulan tular gambar pemberian wang oleh aktivis Pakatan Harapan (PH) pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands kelmarin.

PH sudah menjelaskan yang itu adalah duit minyak kepada sekumpulan sukarelawan dan calon PH, M. Manogaran juga menyifatkan perkara itu bukan satu masalah besar kerana dibenarkan undang-undang.

Malah Bersih juga sudah membersihkan perkara ini. Kata pengerusinya, Thomas Fann, bukan kesalahan pilihan raya bagi sesebuah parti politik membayar balik kos petrol sukarelawan yang terlibat dalam kempen.

Kini tinggal untuk Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan ia bukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Ikut akta itu ada disebut semua, sogokan, jamuan dan apa yang saja yang boleh dan yang tidak boleh dalam kempen.

Memang betullah, siapa nak buat kerja gratis. Tak cukup baju T dan topi, nak kena juga bagi duit minyak dan duit makan. Ini bukan sahaja berlaku ketika Barisan Nasional (BN) berkuasa, tetapi orang lain pun buat juga.

Yang silap adalah rakyat Malaysia kerana terlalu idealistik terhadap pengganti BN tanpa berpijak pada realiti politik. Ingatlah tiada siapa hidup dalam utopia iaitu sistem pemerintahan yang ideal. Justeru, usahlah dikejar benda tidak wujud.

Kalau sempurna tak adalah menteri berbondong-bondong buat program kementerian atau jabatan di kawasan pilihan raya kecil. Dulu di tepi pantai sekarang di tanah tinggi. Kalau dulu BN buat, sekarang giliran PH pula.

Tak kisahlah walaupun guna kereta sendiri, jentera kerajaan tetap diguna. Al hasil balik asal. Sekali lagi, skrip sama berulang. Jangan pelik. - UTUSAN ONLINE