Ketua Pergerakan Puteri UMNO Sabah, Normalah Rasik berkata, dua calon yang menawarkan diri untuk pemilihan tersebut ialah Ketua Puteri UMNO Sipitang, Suzie Hamat dan Ketua Puteri UMNO Kota Marudu, Sharifah Lydia Sharif Dandan.

“Bagi pemilihan ini, Puteri UMNO Sabah hanya menawarkan dua orang sahaja dan sudah pasti kedua-dua calon ini akan memantapkan kekuatan sayap Puteri UMNO Sabah di peringkat pusat,” katanya dalam majlis Berbuka Puasa bersama Anggota Puteri UMNO Sabah di sini, semalam.

Yang turut hadir Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Bintang, Nasriah Ngasri.

Normalah yang juga Ketua Puteri UMNO Kudat memberitahu, pergerakan puteri Sabah menzahirkan sokongan penuh kepada Zahida yang akan bertanding bagi jawatan Ketua Puteri UMNO Malaysia.

“Pada kami, calon Ketua Puteri mestilah yang sentiasa turun padang dan mudah mendekati anggota parti di peringkat akar umbi seperti mana yang dilakukan beliau (Zahida).

“Kita memerlukan seorang pemimpin yang mudah didekati dan bukan hanya muncul semasa pemilihan,” katanya. - UTUSAN ONLINE