Dalam era ledakan maklumat global ini, hyperconnectivity atau kesalinghubungan digital memberi impak besar dan mengubah cara komunikasi sesama individu di setiap peringkat termasuk parti politik dan kerajaan.

Sebelum ini dan ketika ini pun setiap parti politik ada pemidato masing-masing. Kerja-kerja berkempen sekarang pun dikaitkan dengan calon, tukang kerja kempen serta penceramah me­nemui mungkin antara 200 hingga 300 khalayak.

Secara tradisionalnya itu begitu. Namun dengan aplikasi WhatsApp dan Facebook (FB), seseorang itu dengan mudah meraih antara 2,000 dan 5,000 khalayak.

Bahkan, ia lengkap dengan pangkalan data komposisi Melayu, Cina dan India, namun perlukan saintis untuk menganalisisnya. Soalnya berapa saintis yang ada dalam parti?

Data terkini merekodkan pengguna internet di Malaysia mencecah 20 juta orang dengan 18 juta pengguna FB aktif setiap bulan.

Rakyat mengikuti perkembangan semasa terutama politik hanya melalui gajet telefon bimbit dengan `dunia berada di tangan’.

Dengan pengguna di negara ini membelanjakan AS$2.66 bilion (RM8.74 bilion) untuk membeli telefon bimbit, catatan rekod pada 2014 itu pasti bertambah tahun ini.

Justeru, dua PRK ini terutama Kuala Kangsar yang menyaksikan calonnya, Datin Mastura Mohd. Yazid akan ba­nyak menggunakan teknologi semasa berkempen, akan menjadi ujikaji atau eksperimen penting untuk pasukan jentera pilihan raya BN mempraktiskan kepakaran mereka.

UMNO diketahui mengambil berat isu paten digital ini sekarang. Sebagai parti yang me­nunjangi Barisan Nasional (BN), UMNO diyakini tidak mahu kekal dengan cara berpolitik lama. Ini di kala pembangkang khususnya DAP dan PKR terus menongkah arus mahir, bahkan pakar dalam aspek kempen di­gital tersebut.

Barack Obama memiliki pa­sukan kempen digitalnya yang cekap dan berkesan sehingga membawa kemenangan besar dalam pilihan raya Presiden.

Semua anggota kempen digitalnya bukan orang politik tetapi saintis. Ada antaranya pakar matematik, statistik dan saintis termodinamik.