Mereka terdiri daripada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jalani Johari (Parlimen Hulu Terengganu) yang juga Ketua UMNO bahagian di samping Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Parlimen Besut).

Selain mereka berdua, penyandang bagi dua lagi kerusi Parlimen yang dimenangi BN dalam PRU-13 dikekalkan bersama dengan kesemua 17 penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ini termasuklah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang bakal mempertahankan kerusi DUN Kijal namun berlaku perubahan bagi kerusi DUN Permaisuri apabila Datuk Mohd Jidin Shafee bakal bertanding bagi kerusi Parlimen Setiu.

Di samping itu, BN Terengganu yang awalnya mengesahkan hanya seorang calon tunggal kalangan wanita, Toh Puan Zaitun Mat Amin (Ketua Wanita UMNO Marang) bagi DUN Bukit Payong turut mengetengahkan seorang lagi calon, Datuk Zainun Abu Bakar (Bendahari Wanita UMNO negeri) bagi DUN Sura.

Selain itu, dua bekas Exco kerajaan negeri yang digugurkan dalam PRU-13, iaitu Datuk Rosol Wahid dan Datuk Mohamad Awang Tera diberi ruang semula menjadi calon, masing - masing bagi kerusi Parlimen Hulu Terengganu DUN Cukai.

Pengumuman yang dinantikan hari ini juga turut menamatkan spekulasi berterusan tentang kedudukan Ahmad Razif yang sebelum ini dikatakan akan beralih ke kerusi Parlimen.

Kesemua calon yang diumumkan itu turut hadir kecuali calon bagi kerusi Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan calon DUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar kerana urusan yang tidak dapat dielakkan.

Dalam PRU-13, BN menguasai 17 daripada 32 kerusi DUN di samping empat daripada lapan kerusi Parlimen.

BN yang membariskan calon daripada pelbagai latar belakang, dengan rekod perkhidmatan serta manifesto yang mendasari kehidupan rakyat, mensasarkan sekurang-kurangnya 24 kerusi DUN di samping menguasai kesemua kerusi Parlimen. - UTUSAN ONLINE