Kira-kira 100 orang turut hadir membuat bantahan termasuk pemimpin beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di pekarangan IPD Kuala Muda.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, beliau membaca mengenai penulisan A. Kadir pada Jumaat lalu bertajuk ‘Selamat Bertakhta Al Aminul Karim' dan jika difahami secara mendalam merupakan satu penulisan yang jelik terhadap Sultan Kedah dan Raja-raja Melayu.

"Pada permulaan penulisan A. Kadir seolah-olah menyatakan Tuanku Sultan Kedah melakukan pembaziran pada Hari Pertabalan baginda.

"Selain itu, A. Kadirturut menyindir Raja-Raja Melayu dengan ayat-ayat jelik yang berbunyi, berpanjangan usia di bilik lembaga dan pelihara konglomerat niaga baginda. Raja kita selamat dalam bilik Baginda, atas padang bola dalam arena politik negara atau mencari buih dan balak dalam hutan belantara," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis tersebut.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Merbok, Annuar Ahmad pula berkata, penulisan A. Kadir Jasin ini boleh menimbulkan kebencian rakyat terhadap Sultan Kedah dan Raja-Raja Melayu seterusnya akan menimbulkan suasana tegang antara rakyat berbilang kaum dan institusi diraja.

"Tujuan laporan polis ini dibuat supaya pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyiasat A. Kadir  dan lain-lain orang yang terlibat dalam penulisan yang dinyatakan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, setakat ini, sebanyak tujuh laporan polis telah dibuat di daerah Kuala Muda berhubung penulisan dari A. Kadir  itu. - UTUSAN ONLINE