Ahli Parlimen Rembau itu berkata, perbuatan kumpulan penyokong Barisan Nasional (BN) mengejar, mengerumuni dan menghamburkan kata-kata kesat terhadap menteri itu adalah tidak betul dan tidak wajar dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, tindakan Syed Saddiq tidak menggunakan laluan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis juga adalah tidak wajar dan boleh dianggap sebagai satu provokasi.

"Ada sebab yang kukuh mengapa SPR dan polis akan menetapkan lebih awal kawasan dan laluan untuk parti-parti politik ketika penamaan calon dibuat.

"Dalam konteks ini, lazimnya suhu politik dalam kalangan penyokong adalah tinggi. Sebab itu kita digalakkan untuk mengelak provokasi dengan mengikut saranan pihak berkuasa.

"Saya harap kita lihat perkara ini dengan adil. Jangan hukum satu pihak sahaja kata Syed Saddiq buat provokasi tetapi penyokong UMNO juga salah. Kedua-dua pihak salah," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Masjid Ibnu Khaldun Lavender Heights dan wakil penduduk Taman Lavender Heights di Senawang dekat sini hari ini.

Dalam kejadian semalam, Syed Saddiq telah dikerumuni penyokong parti pembangkang ketika berjalan menuju ke keretanya selepas selesai proses penamaan calon bagi PRK Semenyih.

Berdasarkan klip video yang tular di media sosial, beliau telah diiringi anggota polis serta anggota Unit Amal Pas sambil dikejar sekumpulan lelaki. - UTUSAN ONLINE