Pengerusinya, Aminuddin Harun berkata, Streram yang juga bekas calon bagi kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sudah berjuang untuk mendapatkan haknya yang dinafikan sebelum ini.

“Kita akan hantar dua atau tiga nama calon, namun nama Streram adalah ke­utamaan parti kerana beliau telah terbabit dalam persediaan PRU di Rantau sejak awal di samping turut bersusah payah membuat rayuan di mahkamah apabila tidak dibenarkan bertanding.

Aminuddin Harun
AMINUDDIN HARUN

“Itu semua adalah usaha serta komitmennya sendiri dan tidak patut jika saya tidak mencalonkan beliau,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di kediaman rasminya, di sini hari ini.

Jumaat lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya di sini memutuskan kemenangan tanpa bertanding Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di DUN Rantau dalam PRU-14 batal dan tidak sah.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azimah Omar yang turut memutuskan PRK bagi DUN berkenaan perlu diadakan serta-merta.

Aminuddin yang juga Menteri Besar berkata, Streram mempunyai peluang untuk menang kerana sudah lama membuat persediaan termasuk mendekati masyarakat setempat di samping meneruskan jawatan sebagai Penyelaras DUN Rantau.

Namun katanya, keputusan muktamad tetap terletak kepada kepemimpinan parti peringkat Pusat.