Walaupun sering tampil berkeyakinan seolah-olah berani berhadapan dengan sesiapa sahaja di kerusi Kubang Pasu mahupun Putrajaya, Dr. Mahathir akhirnya memilih jalan ‘mudah’ dengan bertanding di Langkawi.

Penganalisis politik, Dr. Ainul Adzellie Hasnul berpandangan, jika Dr. Mahathir benar-benar berani, beliau sepatutnya bertanding di Putrajaya, sesuai dengan statusnya sebagai calon Perdana Menteri.

Ataupun sekurang-kurangnya, menurut beliau, bekas Perdana Menteri itu boleh bertanding di kawasan Parlimennya dahulu, iaitu di Kubang Pasu.

“Namun untuk bermain selamat, beliau memilih Langkawi memandangkan beliau pernah berkhidmat di sana sebagai doktor suatu masa dahulu. Beliau berharap kesan nostalgia dalam diri penduduk masih ada seterusnya menjamin kemenangan beliau di sana.

“Dalam masa yang sama, beliau tahu untuk menang di Putrajaya adalah sukar kerana sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) kukuh dan di kawasan beliau sendiri, Kubang Pasu, beliau pernah tewas dalam pemilihan UMNO dahulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ainul berpendapat, Dr. Mahathir bukanlah pilihan yang baik untuk penduduk Langkawi memandangkan beliau sudah terlalu berusia dan keadaan fizikalnya akan menyukarkan tugasnya sebagai wakil rakyat.

“Saya pasti Dr. Mahathir hanya akan meletakkan pegawainya sahaja di Langkawi jika bergelar ahli Parlimen kawasan tersebut kelak,” ujarnya yang menjangkakakan Dr. Mahathir menggunakan faktor nostalgia untuk berdepan penyandang kerusi tersebut, Datuk Nawawi Ahmad yang memperoleh majoriti 11,861 undi pada pilihan raya lalu. -UTUSAN ONLINE