Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu seolah-olah mahu menghina bangsa dan negara ini.

Jelas beliau, surah Ibrahim dalam al-Quran ada menyebut bahawa pendidikan perlu menggunakan bahasa ibunda masing-masing kerana pelaksanaan dalam bahasa asing adalah gagal dan memakan masa yang lama.

"Perkara itu turut disokong melalui penyelidikan oleh agensi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), sebab itu negara-negara maju seperti China, Jepun dan Jerman mampu ke hadapan kerana mereka menggunakan bahasa ibunda.

"Berbeza dengan India yang gagal menandingi tiga negara maju itu berikutan seluruh masyarakat negara itu dari pemimpin hingga peminta sedekah menggunakan bahasa Inggeris," katanya dalam sebuah video yang dimuat naik di akaun YouTube, hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan Dr. Mahathir pada hujung bulan lalu bahawa Pakatan Harapan yang diketuai DAP bersedia untuk mempertimbangkan cadangan melaksanakan semula PPSMI, jika mendapat permintaan daripada rakyat.

Mengulas lanjut Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan, bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew turut menyatakan bahawa negara seberang tambak itu gagal kerana mendidik rakyat dengan budaya Barat.

"Jadi kita kena faham bahawa tokoh politik yang besar pun meletakkan peranan bahasa dalam pendidikan. Kecuali tokoh politik yang gagal, yang asyik ingin balik ke zaman penjajahan.

"Bangsa yang hina adalah mereka yang dipengaruhi oleh penjajah yang menjajah mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi turut mengulas mengenai tindakan Pakatan Harapan yang diketuai DAP di Sarawak yang mahu undang-undang yang jelas untuk orang Islam keluar daripada agama itu yang disifatkan sebagai golongan munafik kerana membiarkan perbuatan murtad.

Tegasnya, menjadi kewajipan orang Islam untuk mempertahankan kedudukan agama itu dalam diri sendiri, negara dan Perlembagaan.

"Kita sudah nyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam itu agama Persekutuan dan bidang kuasa agama adalah di bawah kerajaan negeri. Jadi, benda yang terkait dengan orang Islam harus diselesaikan oleh orang Islam. Wajib untuk semua orang Islam memperkasa dan memuliakan Mahkamah Syariah," katanya.

Jumaat lalu, DAP, PAN dan PKR Sarawak mendesak kerajaan negeri membangunkan garis panduan dan syarat yang lebih jelas bagi sesiapa yang mahu meninggalkan Islam (murtad). - UTUSAN ONLINE