Walaupun apa yang terjadi di­sebabkan kelemahan pengurusan parti itu tetapi Dr. Mahathir lebih selesa menyalahkan ROS dengan menganggap jabatan kerajaan itu mempunyai agenda sendiri apabila menunggu hingga lapan bulan sebelum memberi maklum balas kepada pihaknya.

Soalnya sebagai seorang yang pernah menjadi Presiden UMNO selama 22 tahun, Dr. Mahathir pasti memahami perjalanan sesebuah parti, kalaulah UMNO yang begitu besar boleh diurus dengan sempurna kenapa PPBM yang bertaraf serpihan tidak boleh diurus? Tambahan pula di dalam PPBM terdapat pemimpin-pemimpin yang cukup berpengalaman se­perti Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Jika benar PPBM tidak ada apa-apa masalah, sediakan sahaja laporan yang dimahukan oleh ROS, tidak payah tunggu sebulan, sebaliknya dalam seminggu sahaja laporan tersebut boleh disediakan, tetapi penulis percaya PPBM tidak ada jawapan untuk memberi maklum balas kepada ROS.

Oleh itu cara yang terbaik seperti mana dilakukan oleh Dr.Mahathir ialah menuding jari mempersoalkan ROS sama seperti perangai Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyalahkan kerajaan pusat berikutan krisis air di negeri itu. Inilah perangai pemimpin pembangkang. Tidak kira sehebat manapun latar belakang politiknya, apa yang mereka tahu ialah menyalahkan pihak lain apabila berhadapan de­ngan sesuatu masalah.

Dalam isu PPBM, sejak awal lagi semua orang sudah tertanya-tanya bagaimana perhimpunan agung parti boleh diadakan tanpa mesyuarat cawangan mahupun bahagian, Dr. Mahathir bukannya tidak tahu perkara ini tetapi beliau sengaja buat-buat tidak tahu. Lagipun ramai ahli-ahli akar umbi sudah menyuarakan perkara berkenaan tetapi adakah Dr. Mahathir mendengarnya?

Jawapannya tidak! kerana apa? Kerana Dr. Mahathir lebih banyak menumpukan perhatian kepada gerakan untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Dr. Mahathir terlalu sibuk dengan agenda tersebut sehingga terlupa bahana yang sedang menanti PPBM. Kalau bahasa kampung, ‘dok sibuk rumah orang, rumah sendiri porak peranda!’

Bagaimanapun kita tidak perlu terkejut dengan tindakan Dr. Mahathir itu. Ini kerana PPBM bukanlah ditubuhkan tulen sebagai parti politik yang berjuang untuk rakyat dan negara tetapi diwujudkan semata-mata demi agenda politik peribadi Dr. Mahathir dengan disokong oleh beberapa bekas pemimpin UMNO.

Biarpun Dr. Mahathir yang suatu ketika dahulu diangkat orang yang cukup mencintai bangsanya memahami bahawa tindakan itu akan memecah belahkan orang Melayu tetapi beliau rela menu­buhkan PPBM yang seterusnya bersekongkol dengan DAP dan PKR. Kedua-dua parti itu dipimpin oleh mereka yang pernah menjadi musuh ketatnya.

Sebab itulah Dr. Mahathit tidak peduli dengan konflik dalaman PPBM. Bantahan demi bantahan yang dibuat oleh ahli-ahli di peringkat akar umbi tidak dihiraukan, seolah-olah bagi beliau PPBM tidak penting apa yang mustahak beliau boleh `memeluk’ DAP dan berkawan rapat dengan PKR bagi melaksanakan misi peribadinya menjatuhkan Perdana Menteri.

Berikutan keadaan itu tidak payahlah Dr. Mahathir cuba menyeret ROS dalam kemelut politik yang beliau sendiri ciptakan. ROS melaksanakan tugasnya dengan profesional. Kalau sesebuah parti itu tidak ada masalah, sudah pasti ROS tidak akan memandai-mandai mengganggu parti tersebut. Tetapi PPBM ada masalah dan paling penting masalah tersebut dikemukakan kepada ROS bukan oleh ahli-ahli UMNO mahupun mana-mana komponen BN tetapi oleh ahli-ahli PPBM sendiri.

Kesimpulannya, apa yang berlaku adalah salah Dr. Mahathir, seorang ahli politik berusia 92 tahun yang semakin hilang arah tuju akibat dendam kesumat yang membara. Adakah bagi Dr. Mahathir melalui tindakan ROS itu, ia akan memudahkan beliau berhujah terpaksa menggunakan lambang parti lain dalam PRU-14 khususnya DAP? Hanya beliau yang tahu.