Dr. Mahathir ketika menyampaikan ceramah menyifatkan ketokohan Mohamed Azmin terbukti semasa menjadi Menteri Besar Selangor dari 2014 hingga 2018.

Katanya, usaha keras Mohamed Azmin memajukan Selangor sehingga berjaya menjadi negeri terkaya dalam negara adalah kerana menyedari tanggungjawab yang dipegang untuk rakyat.

"PH ini ada ramai pemimpin berpengalaman termasuk Mohamed Azmin. Dia biasa jadi Menteri Besar Selangor. Dia sedar dia majukan Selangor sehingga negeri ini jadi kaya.

"Saya pertikaikan pendapat dia. Saya kata Selangor jadi kaya kerana Kuala Lumpur berada dalam negeri itu. Kalau Kuala Lumpur di Kedah, kami lah kaya. Tapi dia sedar tanggungjawab dia kepada rakyat. Inilah sikap dan sifat yang ada pada wakil rakyat PH," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ceramah Perdana PH sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, di sini malam tadi.

Tambah Dr. Mahathir, PH telah pun mempunyai pelbagai rancangan untuk memajukan negara sekali gus memberi kesenangan kepada rakyat.

"Amat jelas PH memandang ke hadapan. Kita punyai pengalaman. Kita tahu apa yang perlu dilakukan untuk majukan negara dan rakyat.

"Kita dah ada rancangan untuk memperkayakan negara dan kita juga tahu bagaimana untuk melakukannya," ujarnya. - UTUSAN ONLINE