MOHD. PUAD ZARKASHI

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, setelah isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) gagal, maka isu Penasihat PKR, Anwar dipenjara cuba dipanaskan kembali untuk mendapat simpati rakyat.

Katanya, Dr. Mahathir lupa bahawa sejak berkawan dengan penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahu menjadi Perdana Menteri, imejnya sudah tercalar dan tidak lagi boleh dipercayai.

“Anwar dan penyokongnya dianggap hilang akal jika mempercayai Dr. Mahathir adalah ikhlas dan serius mahu Anwar dibebaskan.

“Dr. Mahathir hanya berlakon. Dia pakar pusingan U. Anwar dipenjara kerana perbuatan jenayah setelah melalui proses perbicaraan yang panjang. Bertahun dan berbelas kali penangguhan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Dr. Mahathir menggesa agar Anwar segera dibebaskan dari penjara.

Pengerusi Pakatan Harapan itu membuat gesaan tersebut menerusi satu kenyataan bersama dengan peguam hak asasi manusia dari Amerika Syarikat, Kimberly Motley.

Dr. Mahathir dan Motley menganggap Anwar sebagai tahanan politik dan perlu dibebaskan segera.

Mohd. Puad berkata, Anwar tidak boleh mudah lupa kerana dia ditahan oleh Dr. Mahathir bermula dengan Akta Rahsia Rasmi (ISA).

Menurutnya, rumah Anwar juga diserbu dengan kasar, matanya lebam dan Dr. Mahathir mendakwa bahawa Anwar memukul sendiri matanya sampai lebam.

“Itu tahanan bermotif politik. Anwar dulu dipecat dan ditahan kerana buku 50 Dalil. Dr. Mahathir percaya buku itu. Anwar sekarang dipenjara kerana Mohd. Saiful Bukhari Azlan sendiri yang membuat aduan. Lagi pun Anwar hanya tinggal beberapa bulan sebelum bebas.

“Kenapa di peringkat awal dahulu dia tidak memperjuangkan pembebasan Anwar? Kenapa sekarang? Sudah tentu kerana politik. Bukannya Anwar dipenjara kerana politik tetapi Dr. Mahathir cuba mempolitikkan pada saat kritikal ini iaitu pembebasan Anwar,” katanya.