ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB

Menteri Kemajuan Luar Ban­dar dan Wilayah itu berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang tentunya tidak akan membiarkan perkara itu menjadi kenyataan atas sejarah hitam atau ‘dosa silam’ Dr. Mahathir ke atas mereka dan keluarga mereka semasa bergelar perdana menteri.

“Dosa Dr. Mahathir pada mereka terlalu besar. Macam Kit Siang, anaknya, Lim Guan Eng pernah dipenjara dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh Dr. Mahathir dan begitu juga dengan Anwar, beliau sendiri dituduh dengan pelbagai tuduhan dan keburukan moral yang tentunya turut memalukan seluruh anggota keluarganya.

“Sebab itu, saya ti­dak fikir Anwar atau Kit Siang atau keluarga mereka bo­­leh memaafkan dosa besar Dr. Mahat­hir itu,” katanya mengulas me­ngenai kemungkinan Dr. Ma­hathir menjadi perdana menteri sementara jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sijil kepada 213 penerima pada majlis konvokesyen Sijil Kemahiran Malaysia-Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) Kemas di sini hari ini.

Ismail Sabri tidak menolak kemungkinan Dr. Mahathir dipergunakan oleh Anwar dan Kit Siang untuk menyerang UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas menyedari wujud ‘isu periba­di’ antara beliau dan UMNO selepas usaha menempatkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz di kerusi Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti 2013 gagal.

Dalam konteks sama, katanya, DAP menggunakan peluang itu untuk menyerang Melayu dan UMNO melalui Dr. Mahathir sehingga parti yang ditunjangi orang Melayu terus berpecah sedangkan DAP kekal se­perti yang mereka mahukan.

Katanya, parti diwakili orang Melayu telah berpecah kepada lima iaitu UMNO, Pas, PKR, Amanah dan PPBM dan dalam skala Pakatan Harapan, DAP kekal sebagai parti dominan.

“Budi bicara atau ikhsan mereka (DAP) amat ditagih dalam memilih atau melantik seorang perdana menteri jika memenangi pilihan raya umum,” katanya. – BERNAMA