Beliau berkata, calon PKR Parlimen Langkawi itu juga perlu menjelaskan bagaimana anak-anaknya mendapat begitu banyak keistimewaan dengan memperoleh begitu banyak kontrak dan tender-tender daripada kementerian dan syarikat milik kerajaan (GLC) ketika era Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Selain Dr. Mahathir, Anina juga menggesa bekas menteri, Tun Daim Zainuddin menjelaskan bagaimana beliau memiliki dana begitu besar untuk membeli Kumpulan Bank ICB Financial Group pada 1994 yang memiliki rangkaian di 13 buah negara dan kebetulan pada masa itu, Bank Negara Malaysia (BNM) kehilangan RM30 billion secara misteri.

“Adakah kehilangan RM30 billion rezab BNM ada kaitan dengan kekayaan sepantas kilat Tun Daim kerana Tun Daim juga adalah Menteri Kewangan yang bertanggungjawab ke atas transaksi-transaksi misteri yang menyebabkan BNM kehilangan dana begitu besar, sebelum beliau ( Tun Daim) meletakkan jawatan pada 2014,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Anina, Dr. Mahathir tidak boleh menutup isu tersebut dengan cuba membangkitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

dan dana politik RM2.6 billion yang sudah lama selesai dan tidak relevan lagi.

“Derma politik dan 1MDB telah ditimbulkan kembali oleh kem Dr. Mahathir dengan sengaja untuk mempengaruhi pengundi terhadap isu lapuk yang telah lama selesai.

“Pada saya isu sebenar yang perlu diselesaikan menjelang hari pengundian pada 9 Mei ini adalah dengan menjawab persoalan kekayaaan keluarga dan kroni-kroninya,” katanya.

Sementara itu katanya, penglibatan kartel lama melibatkan Daim; Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rais Yatim dalam kempen Dr. Mahathir menimbulkan rasa sangsi kepada rakyat khususnya di Langkawi.

“Tindakan itu adalah sangat ironik apabila kumpulan kartel lama yang telah mengumpul begitu banyak kekayaan ketika era Dr. Mahathir yang mengamalkan budaya kronisme dan salah guna kuasa itu, kini tiba-tiba tampil untuk kononnya bersama Dr. Mahathir menyelamatkan Malaysia.

“Adakah kumpulan ini mahu menyelamatkan Malaysia? Ataupun mereka hanya mahu menyelamat diri sendiri,” soal Anina.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada lebih 42,000 pengundi di Langkawi supaya menolak Dr. Mahathir pada pilihan raya nanti.

“Jangan kita gadaikan masa depan Langkawi dengan memberi undi kepada Dr. Mahathir yang hanya dipergunakan oleh DAP,” katanya.- UTUSAN ONLINE