Mohamad Taufik Abas
Mohamad Taufik Abas

Bekas Exco Ang­katan Bersatu Anak Muda PPBM, Mohamad Taufik Abas berkata, Dr. Mahathir sendiri sewaktu berada dalam Barisan Nasional (BN) dan menerajui negara selama 22 tahun menanam perasa­an benci dalam ka­langan pendu­duk Lang­kawi terhadap PKR.

Malah katanya, BN telah pun menjadi parti tradisi kepada penduduk di sana walaupun Dr. Mahathir tidak lagi bersama BN.

“Bertanding menggunakan logo PKR di Langkawi adalah satu kesilapan besar Dr. Mahathir. Kemungkinan BN untuk terus menang di Langkawi pada PRU-14 adalah tinggi kerana majoriti penduduk Langkawi masih menyokong BN sebagai parti tradisi.

“Pengaruh Dr. Mahathir kepada penduduk Langkawi dijangka tidak memberi kesan, sebaliknya hanya segelintir penduduk yang akan menyokong­nya,” katanya ke­­tika dihubungi Utu­­san Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir diumumkan akan bertanding di Parlimen Langkawi pada PRU-14.

Pengumuman itu dibuat Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam satu ceramah gabungan pembangkang PKR di Bulatan Lapangan Terbang Padang Mat Sirat, Langkawi.

Bekas Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut diumumkan sebagai ca­lon di kerusi Parlimen Jerlun dan Dewan Undangan Nege­ri (DUN) Jitra manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit yang keluar daripada Pas, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah diumumkan kekal di kerusi sama dan Parlimen Kubang Pasu.

Nama-nama lain yang dicalonkan bagi kerusi Parlimen adalah Wan Saiful Wan Jan (Pendang); Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi (Jerai) dan Mohd. Taufik Yaacob (Baling).

Kamarul Azman
Kamarul Azman

Sementara itu, bekas pengasas PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, satu kesilapan besar jika penduduk Langkawi mengundi Dr. Mahathir pada PRU-14 adalah amalan kronisme akan berterusan.

Katanya, sewaktu 22 tahun memerintah negara, Dr. Mahathir menjadikan Langkawi sebagai tempat menjaga kepentingan sendiri dan kroni-kroninya.

“Penduduk Langkawi keba­nyakannya terlibat dalam perniagaan. Mereka sudah pandai, hidup aman makmur, kaya raya. Jadi mereka juga sudah tahu parti BN yang banyak berjasa kepada pembangunan Langkawi, bukannya atas faktor Dr. Mahathir itu sendiri.

“Kedai roti milik Dr. Mahathir, The Loaf sendiri tutup di Langkawi dan di seluruh negara. Itu membuktikan Dr. Mahathir sudah tidak berkemampuan dan tidak boleh mengurus. Jadi, bagaimana dia hendak memimpin Langkawi,” katanya.