Beliau berkata, kejayaan tersebut tidak mungkin dicapai sekiranya mereka masih memikirkan masalah yang berlaku antara mereka dulu.

"Memang kami tak baik. Tapi dia masuk UMNO dan jadi menteri sebab saya juga. Kalau saya nak fikir dan Anwar pun nak fikir apa jadi pada dia, saya rasa kita tak boleh bersatu.

"(Presiden Amanah) Mohamad Sabu dan (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng pun pernah masuk dalam (penjara). Mereka rela lupakan demi cabaran baharu.

"Begitu juga macam-macam nama diberikan kepada saya mahazalim, kononnya saya diktator. Yang utama bukan nama saya, Anwar, Mat Sabu atau Guan Eng. Yang penting nak jatuhkan kerajaan yang zalim, mencuri itu penting kepada kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah mega Pakatan Harapan yang dihadiri kira-kira 6,000 orang di PD Waterfront, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Anwar yang juga calon PH bagi kerusi Parlimen Port Dickson; Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad dan Guan Eng.

Menurut Dr. Mahathir, walaupun BN dikatakan sukar dikalahkan tetapi PH sedia bekerjasama dan perpaduan yang wujud menjadi faktor kemenangan.

Beliau berkata, kerajaan kini sedang dalam proses memulihkan kedudukan kewangan negara yang telah dirosakkan oleh kerajaan terdahulu.

Beliau juga berharap PH mencapai kemenangan dalam PRK Port Dickson dan menegaskan semua pemimpin dan rakyat perlu bekerja keras untuk membangunkan negara. - UTUSAN ONLINE