Tun Dr. Mahathir Mohamad
Tun Dr. Mahathir Mohamad

Tanpa menjelaskan status terkini permusuhan mereka,  Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, kerjasama politik yang terbentuk ketika ini hanya sekadar untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr. Mahathir berkata, ekoran kerjasama dengan DAP yang bermula pada tahun lepas, beliau kehilangan sokongan daripada penyokong setianya selama ini.

“Saya dengan Kit Siang bukan kawan baik, kami memang musuh tapi apabila datang desakan melalui Deklarasi Rakyat, saya bersetuju  untuk bekerjasama dengan beliau,” katanya ketika berucap dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran PPBM negeri di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng berkata, pakatan pembangkang yang ketika ini terdiri daripada DAP, PKR , PAN dan PPBM mempunyai banyak perbezaan.

“Ya kita ada banyak pandangan berbeza tetapi kita boleh bersatu untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Dalam masa sama, Guan Eng yang juga Ketua Menteri berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak akan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Guan Eng, ini kerana polisi yang diperkenalkan kerajaan negeri selama ini sudah mencukupi untuk membanteras rasuah. - UTUSAN ONLINE