Memetik laporan Bernama, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak boleh menghalang anak-anaknya daripada berniaga dan mengakui mereka juga pernah gagal dalam perniagaan namun tidak pernah dilaporkan.

Namun begitu beliau berkata, apabila anak-anaknya berjaya seperti orang lain yang mendapat peluang daripada kerajaan, perkara tersebut diketahui umum.

“Jika mereka kaya sekarang, itu adalah atas usaha mereka, mereka berhak menjadi kaya, jika boleh menjadi kaya, namun beberapa saudara saya miskin seperti tikus dalam gereja.

“Saya tidak boleh halang mereka (anak-anak) daripada berniaga, kerana kadang-kadang mereka gagal, tetapi tidak (pula) dilaporkan, namun apabila mereka berjaya, macam orang lain juga, kalau dapat peluang daripada kerajaan. (Mereka) gagal, tidak (pula) disebut. Namun bagi mereka yang mendapat (peluang itu) dan berjaya , itu satu berita,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Muhamad Raffi berkata, perkara berkenaan bukanlah satu kejutan kerana kekayaan yang dimiliki anak-anak bakal Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu tidak mungkin diperoleh sekiranya tidak mendapat bantuan daripada kerajaan.

“Kejayaan yang diperoleh anak-anak Dr. Mahathir sememangnya bukan 100 peratus daripada usaha mereka sendiri kerana sekiranya bapa mereka bukan seorang Perdana Menteri, bukan perkara mudah untuk berjaya sehingga menjadi jutawan.

“Walau apa pun kejayaan anak-anaknya, ia adalah hasil daripada sumbangan kerajaan yang memberi mereka peluang seperti permit dan lesen perniagaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Mohd. Razlan, Dr. Mahathir seharusnya mengikut ‘telunjuk’ Pengarah Strategi PPBM, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff supaya mengisytihar harta, namun bukanlah hanya selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). - UTUSAN ONLINE