Pandangan itu disuarakan oleh Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman yang ma­sih lagi terkejut dengan tindakan bekas Perdana Menteri itu.

Beliau juga percaya ramai orang Melayu ‘menangis’ melihat peristiwa tersebut kerana tidak menyangka suatu hari, bekas pe­mimpin dikenali dunia tunduk serta akur menjejakkan kaki ke ibu pejabat sebuah parti yang se­panjang 22 tahun pentadbirannya merupakan musuh sejati.

“Dulu beliau dikenali di selu­ruh dunia, nama beliau amat gah.­ Kini, beliau tinggalkan perjuangan bangsa dan menggugat kedudukan negara.

“Perjuangan orang Melayu telah digoncang dengan kemunculan Dr. Mahathir di Ibu pejabat DAP. Beliau sudah ‘menyerah kalah’ kepada DAP, ini tindakan terdesak yang boleh menggadai masa depan bangsa serta negara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Dr. Mahathir yang buat pertama kali dalam sejarah politik beliau menjejakkan kaki ke Ibu pejabat DAP di sini malam semalam.

Kehadiran Dr. Mahathir ke ba­ngunan tersebut adalah untuk me­nghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Menerusi gambar dimuat naik di laman Facebook DAP, Dr. Mahathir dilihat duduk berlatar­belakangkan logo parti itu dan bersebelahan dengan Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng.

Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub pula berpendapat, Dr. Mahathir hari ini adalah individu berbeza ketika beliau mengetuai pentadbiran negara dan juga UMNO suatu ketika dulu.

Beliau menjelaskan, Pengerusi Pakatan Harapan itu pada hari ini telah tewas dan tersungkur di dada DAP semata-mata kerana rasa dendam terhadap kepe­mimpinan sedia ada.