Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan Dr. Mahathir sejak kebelakangan ini menyebabkannya menjadi musuh UMNO kerana menyerang pentadbiran kerajaan, Perdana Menteri serta parti keramat Melayu itu.

Malah tegas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu, jawatan Dr. Mahathir yang pernah disandangnya dahulu iaitu selaku bekas Perdana Menteri dan Pre­siden parti tidak memberi kelebihan untuknya diterima semula.

“Kita tidak jemput beliau untuk sertai UMNO (walaupun bukan Najib selaku Perdana Menteri) dan bukan senang untuk beliau menyertai semula kerana sudah berada dalam parti lain sekali gus menjadi musuh UMNO.

“Malah, tiada kelebihan (kepada Dr. Mahathir). Beliau keluar dan tubuh parti baharu dan hentam UMNO dan rasa mahu ma­suk, beliau masuk. UMNO bukan parti beliau," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kota Belud di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Ke­tua UMNO Bahagian Kota Belud, Datuk Musbah Jamli; Ketua Wa­nita UMNO bahagian, Eyung Latun; Ketua Pemuda UMNO bahagian, Arshad Bistari serta Ketua Puteri UMNO bahagian, Masnatu Satong.

Kelmarin, Dr. Mahathir mengisytiharkan dia tidak akan kembali kepada UMNO walaupun Najib bukan lagi Perdana Menteri.

Dr. Mahathir membuat pe­ngakuan itu dalam sebuah klip video yang dimuat naik di laman Facebook Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan mendakwa UMNO sebenarnya telah musnah dan tersesat daripada perjuangan asal.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ismail Sabri memberitahu, sekiranya Dr. Mahathir mahu kembali kepada UMNO pada masa depan, ia bukan sesuatu yang mudah untuk meluluskan penyertaannya kerana perlu melalui pelbagai prosedur.

Sementara itu, beliau menyeru Pemuda UMNO supaya bertindak agresif serta lantang dalam memperjuangkan hak Melayu dan bumiputera.

“Pemuda seharusnya berada di barisan depan dan apabila segelintir pihak mencabar hak kita yang termaktub dalam Perlembagaan, Pemuda perlu bangkit. Tiada kompromi jika hak kita dicabar.

“Bagi Wanita pula, mereka perlu terus mempergiatkan Jalinan Rakyat (JR) manakala Puteri saya minta mendekati golongan belia dan menarik mereka untuk menyertai UMNO,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim mengingatkan Dr. Mahathir yang disifatkan beliau sebagai kaki pusingan-U supaya berhati-hati dengan kenyataannya tidak mahu kembali kepada UMNO.

Menurutnya, sebagai parti keramat orang Melayu, UMNO menyimpan banyak sejarah pe­mimpin keluar tetapi apabila tersedar semula, mereka akan kembali dan perkara itu sudah menjadi resam parti.

“Kita tidak merayu Dr. Mahathir untuk kembali pun. UMNO terpelihara dengan kesetiaan dan keikhlasan dalam perjuangan. Kita tidak akan membiarkan ins­titusi Presiden dihina mahupun digulingkan,” ujar beliau.