Duta Malaysia ke Kemboja, Datuk Seri Hasan Malek berkata, ini kerana para duta berkenaan menyedari niat sebenar bekas Perdana Menteri itu yang hanya ingin menjatuhkan kerajaan hari ini melalui sokongan pihak luar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, hakikatnya, para duta berkenaan mengetahui dengan jelas tugas dan peranan mereka sepanjang berkhidmat mewakili negara masing-masing di negara ini.

“Mereka juga sedar bahawa dahulu Dr. Mahathir sendiri menolak dengan tegas campur tangan luar dalam hal ehwal politik di negara ini.

“Tetapi kini dia pula yang meminta campur tangan asing bagi menekan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan pilihan raya mengikut kehendak pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat Parlimen Kuala Pilah 2018 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam.

Hasan berkata, beliau yakin hasrat Dr. Mahathir itu tidak akan mendapat sokongan daripada para duta berkenaan kerana masing-masing tahu bahawa mereka tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal domestik.

“Pada masa sama, kerajaan juga tidak berdiam diri dalam isu resolusi EU berkaitan larangan mengimport minyak sawit dari negara Asia.

“Beberapa tindakan susulan sedang dilakukan oleh semua pihak melalui saluran tertentu termasuk oleh duta kita di EU bagi mencari jalan penyelesaian terbaik,” ujarnya.

Dalam majlis hari ini, Hasan turut menyampaikan peruntukan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Pilah.

Selain itu, sebanyak 55 pusat daerah mengundi (PDM) turut menerima peruntukan bertujuan mengukuhkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).