Jelas Perdana Menteri, beliau telah memberitahu Anwar berke­naan hal itu namun akan memberikan sokongan kepada Pre­siden PKR itu bagi menghadapi PRK tersebut.

“Saya beritahu Anwar bahawa kebiasaannya saya tidak turun berkempen dalam PRK namun akan menyokong pencalonannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) di Ibu pejabat parti itu di Menara Yayasan Sela­ngor, di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandang­nya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah kelmarin bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi tersebut seterusnya sebagai Perdana Menteri kelapan.

Sementara itu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata, Anwar mempunyai hak untuk bertanding dalam PRK bagi membolehkannya kembali ke Parlimen.

“Anwar ada maklumkan kepada saya semasa beliau berada di Hong Kong bahawa akan ada PRK. Ini haknya dan saya tidak masuk campur dalam hal itu.

“Namun saya memberi perhatian tentang reaksi orang ramai dan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) tentang PRK ini,” katanya.

Mengulas tindakan Bersatu Bahagian Port Dickson yang memberi amaran kepada Naib Pre­siden PKR, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid supaya tidak turun berkempen di Port Dickson, Dr. Mahathir berkata, itu hanya pendapat di peringkat bahagian.