LOKMAN NOOR ADAM
LOKMAN NOOR ADAM

Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam berkata, dalam situasi pendapatan kerajaan akan berkurangan, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu juga mahu mengembalikan subsidi yang telah ditarik balik oleh kerajaan ketika ini.

Katanya, melalui sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebelum ini, sebanyak RM14 bi­lion telah dikutip oleh kerajaan pada 2014 berbanding RM41 bi­lion dan RM44 bilion melalui GST pada 2016 dan tahun lalu.

“Terdapat kekurangan pendapatan antara RM27 dan RM30 bilion jika GST digantikan kepada SST semula. Keadaan menjadi lebih buruk apabila harga minyak dunia jatuh yang menyaksikan hasil negara daripada petroleum hanya sebanyak RM30. 1 bilion pada 2016 berbanding RM66 bilion pada 2014.

“Jadi bagaimana dia kata mahu ber­belanja lebih jika pada masa sama pendapatan berkurangan? Hanya yang tidak berfikir secara rasional akan menerima penipuan se­perti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas me­nyampaikan ceramah dalam Program Memahami Isu-isu Semasa Negara di sini, hari ini.

Lebih 150 orang hadir dalam program anjuran bersama Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (Kupekmas) negeri, Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Persatuan Bekas Polis Malaysia dan Kelab Sahabat Najib '87 (N87) itu.

Lokman berkata, GST yang diperkenalkan pada 2016 berjaya menyelamatkan negara daripada terjerumus ke dalam kancah ketidaktentuan ekonomi yang berpunca daripada kejatuhan harga minyak dunia secara mendadak.

“Hasil sumber pendapatan utama negara iaitu petroleum yang telah merosot kira-kira RM35.9 bilion setahun hanya dalam tempoh dua tahun (2014-2016) telah dapat ditampung sebahagian besarnya melalui GST dan rasiona­lisasi subsidi.

“Sebenarnya inilah yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau menyatakan bahawa GST telah menyelamatkan negara,” ujarnya.

Menurutnya, pengenalan GST telah membolehkan kerajaan menangani peniaga tidak amanah yang berselindung di sebalik kelemahan SST kerana tamak untuk mengaut keuntungan besar dengan melarikan diri daripada membayar cukai.