Timbalan Presiden Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis Melayu Malaysia, Tasman Matto berkata, tindak-tanduk bekas Perdana Menteri yang mengguris hati dan menyentuh sensitiviti masyarakat tersebut perlu dihentikan segera selain melakukan permohonan maaf secara terbuka.

“Kami amat menyokong dan bersetuju dengan titah Sultan Selan­gor, Sultan Sha­rafuddin Idris Shah yang menzahirkan kemurkaan terhadap kenyataan dibuat oleh Dr. Mahathir.

“Menghina sesuatu bangsa atau suku kaum hanya mengundang perkara kurang baik dari segi kestabilan dan keselamatan negara. Kami sekali lagi mendesak Dr. Mahathir segera memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Bugis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dr. Mahathir semasa berucap dalam perhimpunan haram Pakatan Harapan diketuai DAP di Padang Timur, Petaling Jaya dekat sini pada Oktober lalu menyebut bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin berasal daripada lanun Bugis yang sesat ke Malaysia.

Tindakan Pengerusi Pakatan Harapan tersebut yang melabel etnik Bugis sebagai lanun hanya kerana mahu mengkritik Najib turut mengundang kemurkaan Sultan Selangor.

Dalam kenyataan dikeluarkan Setiausaha Dewan Diraja Selan­gor, Hanafisah Jais semalam, ba­ginda memandang serius kenya­taan dikeluarkan Dr. Mahathir itu yang boleh mencetus rasa benci dan prasangka buruk rak­yat terhadap etnik Bugis sehingga mencetuskan kekecohan serta huru-hara.

Mengulas lanjut menurut Tasman, sebagai rakyat yang sayangkan ke­amanan dan ke­sejahteraan negara dikecapi selama ini, tindakan pemimpin pembangkang itu benar-benar menghantui jiwa dan raga masyarakat tersebut dan membuatkan mereka berasa amat terhina.

“Selain siasatan terperinci, tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 atau apa-apa akta berkaitannya perlu diambil terhadap pelaku sebagai pengajaran dan memastikannya tidak berulang,” ujarnya.

Sementara itu Presiden Persatuan Melayu Bugis Selangor (PMBS), Datuk Tengku Hishammuddin Zaizi Tengku Azman Shah berkata, semua ahli persatuan tersebut termasuk pihak jawatankuasa menyokong titah baginda sultan berhubung kenya­taan Dr. Mahathir.