ANINA SAADUDIN

Bekas Ketua Srikandi PPBM, Anina Saadudin berkata, bekas Perdana Menteri itu dilihat sudah jauh terseret daripada perjuangan bangsa dan dikhuatiri akan menjadi penyebab utama hilangnya kuasa politik orang Melayu di negara ini.

Katanya, rakyat ki­ni melihat kononnya PPBM adalah parti yang besar dalam Pakatan Harapan diketuai DAP walhal parti itu hanya dapat bersuara kerana adanya Dr. Mahathir yang kini sudah berusia 92 tahun.

“Kalau dulu semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau sering tekankan agenda politik orang Melayu adalah satu prinsip yang perlu dipegang tetapi kini tidak lagi. Dan itu sangat menyedihkan.

“Hakikatnya sekarang, DAP, parti dominan yang memegang ‘kerusi selamat’ paling banyak dalam Pakatan Harapan sedang mempergunakan beliau untuk memancing dan memecahkan undi orang Melayu,” katanya dalam sesi Sembang Online di laman Facebook Utusan Online, hari ini.

Tambah Anina, idea penubuhan PPBM tercetus selepas anak Dr. Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilucutkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah dan kedua-dua mereka hilang jawatan dalam UMNO.

“Sebelum itu saya masih ingat Dr. Mahathir melancarkan kempen Deklarasi Rakyat yang mana saya juga ikut beliau dan ketika itu, kami langsung tidak terfikir untuk menubuhkan parti baharu.

“Pada masa itu saya sendiri secara peribadi bertanya kepada kepe­mimpinan PPBM, jika benar kita mahu memperbetulkan UMNO, mengapa perlu tubuhkan satu lagi parti Melayu yang akhirnya akan menjadikan Melayu yang sepatutnya memegang majoriti un­di bertukar kepada kumpulan-kumpulan minoriti? Tetapi mereka berjaya meyakinkan saya,” jelasnya.

Mengulas mengenai tabung derma PPBM yang dilancarkan baru-baru ini, Anina berkata, cadangan untuk me­ngutip derma itu dicadangkan Mukhriz ketika beliau masih di dalam parti.

“Cadangan ini sudah lama dan kononnya untuk menggambarkan seolah-olah perjuangan mereka adalah suci seperti perjuangan politik zaman dahulu.

“Bayangkan mereka pergi ke pelosok negara, ke kampung-kampung beri ceramah tentang bagaimana kerajaan kita zalim, rakyat hidup susah, tetapi akhirnya mereka minta duit untuk parti walhal mereka sendiri hidup kaya-raya,” katanya.