MAHATHIR MOHAMMAD

Ramalan tersebut yang diterbitkan dalam blog peribadinya pada awal Mei 2012 turut menempelak bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ketika itu menyifatkan tindakan menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan sebagai ‘halal’.

Calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan diketuai DAP itu bagaimanapun membuat pusingan-U di Mahkamah Tinggi di sini hari ini apabila menyatakan perhimpunan Bersih selepas tahun 2012 adalah ‘amat aman’.

Pendapat tersebut dibuat selepas bekas Perdana Menteri itu sendiri menyertai perhimpunan Bersih 4.0 dan 5.0.

“Saya mula menyertai Bersih apabila saya dapati perhimpunan takkan cetuskan huru-hara sehingga tahap kutip sampah. Apabila saya menyertai Bersih, saya dapati pemimpin dan peserta tidak cenderung kepada keganasan,” katanya.

Saksi sepina kedua Datuk Seri Jamal Md. Yunos selaku defen­dan berkata demikian pada perbicaraan kes saman fitnah oleh Maria Chin Abdullah, 62, terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu yang didakwa mengaitkan Bersih 2.0 dengan kumpulan pengganas Daesh.

Dalam samannya, Maria selaku plaintif mendakwa pada 28 September dan 4 Oktober 2016, Jamal telah mengeluarkan kata-kata fitnah dalam satu sidang akhbar di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) serta di pekarangan Ibu pejabat Polis Bukit Aman yang telah diterbitkan serta disiarkan di beberapa portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.

Terdahulu, menjawab perta­nyaan peguam Mohammed Nasser Yusof yang mewakili defendan, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menya­takan telah menjadi dasar kerajaan untuk mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam rusuhan atau mendatangkan ancaman kepada negara.

Atas alasan itu juga, Dr. Mahathir yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri telah melancarkan Ops Lalang yang menyaksikan seramai 106 individu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk suami kepada Maria, Yunus Ali.

Tambahnya, arahan penahanan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada Pasukan Cawangan Khas bagi mengelakkan berlakunya rusuhan.

Dr. Mahathir turut mengesahkan sewaktu pembentangan Kertas Putih Ops Lalang di Parlimen, Yunus telah berjumpa dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pada lewat tahun 80-an.