Kali terakhir mereka berada di atas pentas politik yang sama adalah kira-kira dua dekad dahulu dan ketika itu, kedua-duanya menerajui kepemimpinan tertinggi UMNO serta Barisan Nasional (BN).

Kini, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Anwar berpadu tenaga bagi menjayakan kempen Pakatan Harapan (PH) untuk menarik sokongan pe­ngundi terhadap gabungan politik tersebut dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Kesediaan Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PH turun berkempen membantu Anwar dalam PRK kali ini merupakan sesuatu yang di luar kebiasaan kerana beliau tidak pernah berbuat demikian ketika mengetuai UMNO dan BN dahulu.

Kehadiran kepemimpinan ter­tinggi PH antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sekali gus menggambarkan kesepakatan mereka bagi memastikan kemenangan Anwar dalam PRK tersebut.

Hujan yang turun malam ini juga tidak menghalang ribuan penyokong PH untuk hadir dan mendengar sendiri amanat daripada kepemimpinan tertinggi parti.

Sementara itu, Dr. Mahathir dalam ucapannya berharap PRK Parlimen Port Dickson akan menyaksikan kemenangan memihak kepada PH dan Anwar.

“Saya harap kita terus bekerja, bukan bekerja untuk Anwar, Mahathir, Mat Sabu atau Lim Guan Eng tetapi untuk negara dan rakyat yang telah beri peluang kepada kita untuk ambil alih pentadbiran negara,” katanya.

Terdahulu, Anwar ketika berucap menyuarakan keyakinannya bahawa Dr. Mahathir merupakan individu terbaik untuk memim­pin negara yang ketika ini sedang dalam prosea pemulihan setelah dilanda pelbagai skandal terma­suk kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Untuk mengemudi negara, kita serah terus kepada Dr. Mahathir dengan kebijaksanaan beliau,” katanya.