Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu bukanlah merupakan sebuah parti yang mewah malah ditubuhkan atas keringat, sumbangan dan derma ahli Pas itu sendiri.

“Kita susah dan orang tahu kita susah, kalau fitnah dengan duit kepada orang susah ni, sakitnya luar biasa, deritanya juga luar biasa.

“Kalau orang tuduh lain, kita tahan lagi, kita susah tapi orang tuduh kita dapat duit RM90 juta, ini fitnah,” katanya ketika berucap dalam program Ceramah Perdana anjuran UMNO dan Pas di Bandar Seri Putra, Bangi dekat sini malam semalam.

Yang hadir sama, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Tambah Tuan Ibrahim lagi, sesuatu yang tidak logik untuk UMNO memberikan RM90 juta, sedangkan Pas bertanding di hampir kesemua kerusi yang turut ditandingi oleh UMNO pada pilihan raya umum yang lalu.

“Kalau UMNO beri duit untuk lawan mereka, apakah maknanya? dua kali tidak cerdik, ini fitnah. Jika diberi duit kepada Pas, dan Pas tidak lawan adalah logik dan munasabahnya, tapi dalam situasi fitnah sebegitu, Pas pula bertambah kerusi,” katanya. - UTUSAN ONLINE