Permintaan itu dikemukakan wakil UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd. Razlan Muhammad Rafii yang mana pemberian diskaun itu wajar dilaksanakan ekoran rungutan rak­yat terhadap kenaikan kadar tol di Lembah Klang, tambang peng­angkutan awam monorel, Transit Aliran Ringan (LRT) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Kita melihat rungutan dan ke­khuatiran rakyat, bagaikan satu sindrom yang serius dan tidak terkawal. Sebagai pemimpin sebuah parti politik yang mentadbir kerajaan, kita mendapat banyak rungutan daripada akar umbi yang merasakan amat terbeban dengan kenaikan tersebut.

“Sehubungan itu, kerajaan perlu mencari mekanisme yang tersusun dan terbaik untuk mengurus serta mengawal selia sistem pengangkutan awam di negara ini. Kebergantungan rakyat terhadap peng­angkutan awam adalah tinggi dan mereka tidak mempunyai pilihan lain untuk ke tempat kerja.

“Maka, kita cadangkan kerajaan supaya memberikan tawaran 50 peratus diskaun kepada pengguna pengangkutan awam melibatkan dua sesi iaitu dari pukul 6 pagi hingga 9 pagi dan dari pukul 5 petang hingga 7 malam. Langkah ini juga dapat menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Beliau berkata demi­kian semasa membahaskan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Mohd. Razlan yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan turut menggesa kerajaan meningkatkan penawaran perumahan rakyat yang berpendapatan rendah dengan harga yang lebih munasabah dan mampu milik khususnya dalam kalangan isirumah yang berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan.

Tegasnya, walaupun kerajaan me­­laksanakan Projek Perumahan Rak­yat 1Malaysia (PR1MA), namun harganya di antara RM200,000 hingga RM500,000 ma­sih lagi tinggi dan tidak mampu dimiliki oleh isi rumah yang di bawah garis pendapatan berkenaan.

Sementara itu, Wakil UMNO Kelantan, Datuk Abdullah Mat Yassim turut membangkitkan isu kenaikan kos sara hidup yang berlaku di seluruh negara apabila memberitahu kenaikan harga barang setiap kali harga petrol naik mengakibatkan rakyat semakin terhimpit.

“Apa yang pelik setiap kali harga minyak naik, harga barang akan naik, tetapi setiap kali harga petrol turun tiada pula harga barang yang turun.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan perlu bertindak dan menangkap peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barang. Biar seorang marah daripada 1,000 orang marah pada kerajaan,” katanya.