Bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk diskriminasi terhadapnya kerana sering berkongsi bahan-bahan dan artikel mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, dia tidak lagi boleh menghantar mesej dan mengikuti perkembangan aktiviti kejiranan di kawasan kediaman rasmi Perdana Menteri itu meskipun memiliki sebuah hartanah di situ.

"Ini bukan kumpulan WhatsApp biasa sebaliknya ia adalah kumpulan persatuan penduduk yang berdaftar.

"Saya adalah tuan punya satu hartanah di sana. Saya tahu undang-undang dan tahu hak saya," katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, di sini hari ini.

Hizatul Isham mendakwa, dia disingkirkan daripada kumpulan Whatsapp itu atas pendirian politiknya yang menentang kerajaan PH.

"Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu banyak posting anti Barisan Nasional (BN) dan maki hamun serta cerca kepada Najib dibuat dalam kumpulan WhatsApp ini tetapi tiada siapa pun dibuang.

"Saya pasti ini adalah kerana desakan daripada penyokong kerajaan PH atau admin sendiri yang tidak tahan dan 'panas' apabila membaca artikel dan hujah berfakta yang tidak menyebelahi mereka," dakwanya.- UTUSAN ONLINE