Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pakatan pembangkang mahupun ahli DAP sebenarnya sedar bahawa Kit Siang adalah seorang pemimpin diktator, namun tidak berani berbuat apa-apa kerana tidak mahu dihalau keluar se­perti Pas.

“Dinasti Lim tidak akan berubah... ahli DAP sudah tahu, pakatan pembangkang juga tahu. Modus operandi DAP, berubah namun prinsip perjuangan politik parti itu tetap tidak pernah berubah. Yang ini, kita kena hormat pendekatan mereka yang begitu istiqamah sehingga parti pembangkang lain perlu mengikut rentak Kit Siang atau mereka kena keluar seperti Pas.

“Pada masa sama, ini juga menandakan yang DAP dikuasai satu dinasti. Tidak dinafikan bahawa Kit Siang adalah de facto leader. Kita boleh lihat itu secara fizikal, dasar dan perilakunya dalam Parlimen... DAP berada di bawah dictatorial leadership of Lim Kit Siang,” katanya selepas majlis Perasmian Serentak Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Seluruh Kedah 2017 di sini hari ini.

Menurut Annuar, rakyat perlu menilai sikap DAP yang sebelum ini mengkritik kepimpinan UMNO, sebaliknya parti itu secara jelas dikawal oleh seorang pemimpin iaitu Kit Siang selama 51 tahun.

“Mereka kritik UMNO sedang­kan kita sudah bertukar empat Presiden UMNO, empat Perdana Menteri sepanjang Kit Siang berpolitik. UMNO adalah sebuah parti yang responsif dan sensitif dengan pandangan rakyat,” ujarnya.