MARYAM LEE
MARYAM LEE

Maryam Lee turut menyifatkan perbuatan sesetengah individu yang melabel beliau ‘te­lah dibayar’ oleh Barisan Nasional (BN) juga adalah tidak wajar sama sekali.

Malah, kata beliau, ironinya, apa jua pandangan yang dilihat tidak membantu ke arah penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri dianggap pengkhi­anatan oleh penyokong politik Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

“Pada forum itu, saya hanya berpandangan bahawa BN mahupun Pakatan Harapan sudah tersasar daripada fokus mereka. Saya tidak melihat mereka sebagai orang yang boleh memimpin Malaysia ke arah negara maju. Jadi, itu yang mendatangkan kemarahan daripada penyokong Pakatan Harapan kerana saya tidak dilihat sebagai individu yang mahu menyingkirkan Najib daripada jawatan Perdana Menteri.

“Oleh itu, sebarang panda­ngan yang tidak membantu ke arah penyingkiran itu dianggap sebagai pengkhianatan sehingga saya dikecam dengan teruk.

“Saya juga berasa kecewa dengan tuduhan (telah dibayar BN) oleh penyokong Pakatan Harapan, memang yang mendakwa sedemikian kebanyakannya daripada gabungan pakatan itu malah ada dalam kalangan mereka antaranya terlibat dengan Bersih dan golongan yang sering mengkritik kerajaan sedia ada menerusi pelbagai penulisan,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia, hari ini.

Semalam, Maryam Lee membuat laporan polis berhubung serangan yang diterima di laman media sosial selepas menyuarakan pandangan ketika mengha­diri forum #UndiRosak: Kau Nak Apa Sebenarnya? yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 25 Januari lalu.

Beliau bertindak membuat laporan polis selepas menerima pelbagai kecaman daripada penyokong politik setelah rakaman video ketika forum tersebut berlangsung dimuat naik ke dalam satu laman sesawang.

Dalam pada itu, Maryam Lee berkata, meskipun beliau kesal dengan insiden itu namun hakikatnya ia menunjukkan situasi sebenar demokrasi di negara ini.

“Rakyat kita tidak faham demokrasi yang sebenarnya membawa makna lebih luas daripada peti undi. Apabila kita hanya nampak peti undi itu sebagai satu-satunya jalan demokrasi, jadi sebarang pandangan yang tidak membawa perubahan melalui peti undi itu akan disifatkan sebagai tidak demokratik padahal ia tidak benar sama sekali,” katanya.

Maryam Lee memberitahu, beliau mahu melihat perubahan dalam budaya politik di negara ini yang mengelakkan sikap terlalu taksub parti dan mengagungkan pemimpin politik.

“Itu adalah budaya politik yang sangat toksik dan tidak membantu serta mengecilkan ruang demokrasi. Inilah (budaya politik) yang perlu diubah sebelum mengubah kerajaan sedia ada,” katanya.