ABDUL RAHMAN DAHLAN

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, walaupun pilihan raya umum sudah berlangsung 13 kali, namun Kit Siang masih lagi dengan retorik politiknya dan terus mendominasi parti itu sejak 51 tahun lalu.

Menurut beliau, sepanjang tempoh itu, semua ahli DAP tidak berani membuat sebarang kritikan, malah tidak sesekali akan menegur sikap pemimpin mereka sekali pun tidak setuju dengan apa jua keputusan yang dibuat kerana tidak mahu dikenakan tindakan dipecat daripada parti.

“DAP jelas dan nyata sekali sebuah parti yang tidak demokratik, walaupun ada pemilihan parti, semua ahli amat takut dengan Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng, sekali gus akan mengikut apa sahaja percakapan mereka yang dianggap satu perintah dan arahan.

“Namun, apa yang berlaku baru-baru ini selepas 182 ahli DAP meninggalkan parti itu jelas me­nunjukkan mereka tidak lagi mampu bertahan de­ngan sikap pemimpin DAP itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kepemimpinan diktator yang diamalkan keluarga Lim dikatakan menjadi sebab utama ramai ahli DAP peringkat akar umbi di seluruh negara bertindak keluar daripada parti itu dan yang terbaharu melibatkan 182 ahli di Melaka.

Tindakan itu berlaku genap sebulan selepas empat bekas pe­mimpin DAP negeri itu termasuk Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him; Ahli Dewan Un­dangan Negeri (ADUN) Duyong, Goh Leong San; ADUN Bachang, Lim Jak Wong dan ADUN Kesidang, Chin Choong Seong mengambil pendekatan serupa.

Ia ekoran kegagalan kepe­mimpinan parti tersebut mena­ngani isu membabitkan empat bekas pemimpin parti itu sebelum ini, selain krisis hilang keya­kinan ahli terhadap DAP yang diterajui Setiausaha Agung yang belum disahkan jawatannya itu.

LIM KIT SIANG
LIM KIT SIANG

Dalam pada itu, Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, DAP seolah-olah tidak ada pemimpin lain yang boleh menerajui parti itu apabila masih mengekalkan keluarga Lim dalam kepemimpinan parti dan mana-mana ahli biasa langsung tidak diberikan peluang memimpin parti.

Katanya, cara Kit Siang berpolitik juga sudah tidak relevan, bersikap ego selain suka bercakap ala samseng apabila setiap kali beliau berhujah mengkritik kerajaan.

“Kit Siang menguasai parti sejak tahun 1960-an lagi, mustahil tidak ada pemimpin lain yang boleh mengambil alih kepe­mimpinan parti.

“Sebab itu ramai pihak yang menyatakan mereka berdua pemimpin diktator, walaupun gagal sehingga kini mengambil alih kerajaan, tetapi masih lagi tidak mahu meletak jawatan,” katanya.