Demikian jawapan Dr. Abdul Aziz Bari ketika ditanya mengenai dakwaan beliau antara dua exco yang akan digugurkan dalam rombakan yang dijangka tidak lama lagi.

Menurut Abdul Aziz, rombakan exco merupakan perkara biasa dan pelbagai alasan boleh digunakan untuk rombakan dibuat.

“Benar atau tidak (digugurkan) tanyalah MB atau tunggu dan lihat. Tanya pimpinan kanan parti PH,” katanya kepada Utusan hari ini.

Abdul Aziz yang memegang portfolio Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar bagaimana pun mengingatkan bahawa sejak dari awal lagi pembahagian kerusi exco dan portfolio telah dibincang oleh pimpinan PH.

Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak dan antara lima exco dari DAP menegaskan, persetujuan yang telah dicapai oleh parti-parti komponen dalam PH itu perlu diteruskan.

“Tetapi sekiranya sesebuah parti itu hanya mahu membuat perubahan tanpa mengganggu kuota parti lain, itu tidak Jadi masalah,” ujar beliau.

Laporan Malaysiakini semalam mendakwa rombakan exco kerajaan Perak timbul lagi kali ini melibatkan Abdul Aziz dan exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamhari dari PKR.

Abdul Aziz dikatakan akan digantikan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin manakala Abdul Yunus diganti ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Malah dikatakan nama-nama mereka yang terlibat juga sudah diberi kepada pihak istana. - UTUSAN ONLINE