Macam ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’. “Mereka memang ‘cekap’ dan selamba sahaja kata itu hasil usaha mereka, tapi yang bertungkus lumus rakyat tahu siapa,” katanya kepada wartawan ZULKIFLI JALIL di Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC) semalam.

UTUSAN: Apa isu diambil perhatian penduduk kelas menengah di bandar?

RAJA NONG CHIK: Biasanya penduduk hendak tahu tentang dasar-dasar kerajaan dan manfaat yang akan diperoleh mereka. Isu-isu dasar inilah yang diputarbelitkan pembangkang atau orang kata spin, mendakwa kerajaan tidak te­lus, amalkan rasuah dan sebagainya. Sedangkan mereka (pembangkang) ini juga yang mendapat manfaat ekonomi, perniagaan dan pendidikan daripada UMNO.

Difahamkan politik di bandar ini lain macam ‘kaedah’ dan taktiknya untuk meraih sokongan penduduk. Datuk Seri perasankah?

Penduduk di bandar semakin sedar perkara ini. Suatu ketika di Lembah Pantai, ada satu kebakaran di sana. Wakil rakyat di situ ada di Sarawak, tetapi orang-orangnya memviralkan dia seolah-olah ada di sana sibuk membantu mangsa. Rupa-rupanya hanya ‘berdrama’.

Ada contoh terbaharu spin pembangkang di kawasan Datuk Seri, misalnya di Bangsar atau Lembah Pantai?

Macam pembangunan semula Flat Seri Pahang di Bukit Bangsar melibatkan pembangunan 30 tingkat menempatkan lebih 1,000 unit rumah. Bila pembangunan hendak dimulakan, pembangkang datang dengan orang luar, tak ramai dalam 10 orang dan mengadakan perjum­paan seolah-olah merekalah yang perjuangkan pembangunan projek itu. Walhal, kami dari UMNO sudah bekerja lebih dua tahun untuk itu.

Itulah taktik atau formula mereka, jadi mengapa Datuk Seri tidak tiru?

Kita tak boleh reka-reka berlakon. Mana-mana saya turun, saya kena bersama orang tempatan. Tetapi PKR ini lain, mereka tidak ada di situ tapi cuba ‘wujudkan suasana keberadaan’ di situ.

Contoh, masalah lif bukan sahaja di PPR tetapi di semua bandar dan UMNO Lembah Pantai memang menyelesaikan isu ini setiap kali muncul.

Jadi, Datuk Seri masih yakin UMNO akhirnya akan diterima di Lembah Pantai dan Bangsar pada pilihan raya umum akan datang?

Ada 19 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Parlimen Lembah Pantai. PDM kawasan Melayu semuanya Barisan Nasional menang pada 2013, cuma di PDM kawasan Cina kalah. Ada PDM kawasan Cina berjumlah 5,000 pengundi dan satu lagi 1,000 pengundi. Kita yakin dan terus mencuba.