Biar apa pun alasan yang cuba diberikan oleh Pengerusi Perhubungan BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung tindakan beliau membantah pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar negeri itu, ia sama sekali tidak boleh diterima.

Apakah dosa besar yang dilakukan oleh Azlan sehingga memungkinkan beliau tidak layak untuk terus menyandang jawatan tersebut? Apakah hanya kerana pencalonan adik Shahidan, Ismail sebagai Menteri Besar ditolak, maka Azlan dianggap tidak berhak memimpin Perlis?

Shahidan sepatutnya berjiwa besar dan sebagai seorang pemimpin yang dianggap paling berpengaruh di negeri tersebut, beliau perlu menghormati keputusan istana yang merestui pencalonan Azlan untuk kekal menjadi Menteri Besar.

Kenapa perlu bertindak bagaikan ahli politik yang tidak matang, apabila membuat sidang akhbar di Kuala Lumpur membantah pelantikan itu sedangkan di Arau, majlis angkat sumpah sudah selesai dilakukan?

Mungkin Shahidan ‘masih bermimpi’ bahawa BN masih berkuasa di peringkat Pusat sehingga beliau meminta Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad campur tangan. Sepatutnya sebagai pemimpin UMNO, Shahidan menyerahkan kepada pucuk pimpinan UMNO dan BN menyelesaikan kemelut ini.

Tetapi malangnya Shahidan bagaikan gagal mengawal diri. Oleh itu, Shahidan membuat pelbagai kenyataan yang dilihat menampakkan seolah-olah beliau tidak mampu menerima hakikat impian untuk meletakkan adik­nya sebagai Menteri Besar tidak kesampaian. Inilah masalah yang masih melumuri sesetengah pemimpin UMNO. Sikap ini juga yang memungkinkan rakyat menolak parti itu.

Seperkara lagi, tindakan sembilan Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) BN tidak menghadiri majlis angkat sumpah juga tidak sepatutnya berlaku. Apakah mereka merasakan lebih hebat daripada Azlan untuk menjadi Menteri Besar atau mereka sudah berpakat hanya mahu anak Kassim sahaja menduduki jawatan tersebut?

Tindakan Shahidan dan sembilan wakil rakyat BN itu bukan sahaja memalukan diri sendiri tetapi juga UMNO dan BN. Dalam berhadapan dengan isu seum­pama ini, pucuk pimpinan parti perlulah tegas dan tidak tunduk kepada sebarang mainan politik seumpama ini.

Apa pun drama politik Perlis harus dihentikan. UMNO dan BN kini dalam fasa pemulihan untuk bangkit semula bagi me­raih sokongan rakyat. Sepatutnya Shahidan bersyukur kerana Perlis merupakan salah satu daripada tiga negeri yang masih kekal di bawah pemerintahan BN.

Oleh itu, bertindak bijaklah dalam berpolitik. Janganlah mengikut kehendak sendiri sahaja. Perlis adalah hak rakyat dan rakyat jugalah menentukan siapa yang mereka pilih memerintah negeri itu.

Justeru jangan sia-siakan harapan rakyat dengan aksi-aksi politik memualkan, kecualilah jika pemimpin-pemimpin UMNO dan BN sudah tidak lagi mempunyai maruah politik!

Adalah diharapkan kekalutan yang berlaku di Perlis itu akan segera diselesaikan. Pilihan raya sudah berlalu. Sekarang adalah masa untuk bekerja dan bukannya mahu berpolitik sepanjang masa, apatah lagi melakukan tindakan seolah-olah sesuatu jawatan itu milik keturunan suku sakat kita sahaja!.