Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, uniform yang julung kali dipakai dalam perbarisan kawalan kehormat sempena perasmian Muktamar Tahunan Pas Pusat Ke-64 semalam merupakan sebahagian daripada tujuh pakaian seragam pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Katanya, setiap negeri dan pertubuhan mempunyai 'number one dress' masing-masing sebagaimana Pengakap serta St. John Ambulans Malaysia, justeru tiada sebarang larangan terhadap penggunaan pakaian seragam tersebut.

"Itu adalah perkara biasa. di peringkat negeri pun ada dan berbeza-beza, negeri Pahang lain dan Kelantan lain.

"Bagi kita bukan satu kesalahan dan kita tidak ambil peluang untuk menyamar kerana ia sebahagian pakaian pertubuhan kita yang berdaftar," katanya kepada pemberita selepas Muktamar Tahunan Pas Pusat Ke-64 di Stadium Gong Badak, di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang menggesa Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan ke atas Pas berhubung penggunaan pakaian seragam berserta pingat yang dikatakan mirip tentera.

Pakaian itu digunakan Jabatan Amal Pas semasa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat pemeriksaan perbarisan dalam muktamar itu.

Takiyuddin turut mempersoalkan tindakan Patriot yang seolah-olah sengaja mencari gaduh sedangkan terdapat banyak jualan pakaian menyerupai tentera di pasaran.

"Saya merasakan mereka tidak ada isu apatah lagi sebelum ini dia ada bergaduh dengan beberapa pihak lain.

"Yang penting kenapa mereka tidak bantah penjualan pakaian tentera dan polis berserta pangkat di pasaran? Kenapa tidak pergi desak kerajaan kawal benda itu? Di belakang pejabat Pas di Chow Kit semua pangkat ada dijual, awak hendak pangkat apa?" soalnya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan berhubung dakwaan membabitkan jabatan di bawahnya. - UTUSAN ONLINE