Melihat kepada perkembangan semasa, nama beliau semakin terpinggir dan tenggelam. Bukan sahaja dalam perancangan masa hadapan Pakatan Harapan yang diketuai DAP, malah dalam parti sendiri pun Muhyiddin ditenggelamkan oleh Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Malahan, beliau dikhabarkan masih belum dapat menentukan akan bertanding dalam kerusi mana dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Melihat semangat beliau ketika menubuhkan PPBM, pasti beliau tidak pernah menyangka peranan beliau kini hanyalah memberi jawapan perihal remeh-temeh parti seperti perselisihan dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), dan bukannya memberi kenyataan soal hala tuju parti seperti yang digalas Dr. Mahathir kini.

Oleh sebab itu, menurut bekas ahli akademik yang kini bertugas sebagai perunding dalam sebuah firma penyelidikan politik , Dr. Ainul Adzellie Hasnul,  Muhyiddin perlu lebih menonjolkan diri dari segi dasar parti dan tidak membiarkan Dr. Mahathir terus menenggelamkan beliau.

“Muhyiddin perlu ambil semula tugasnya sebagai Presiden yang selama ini digalas oleh Dr. Mahathir. Tugas memberikan kenyataan media tentang isu berbangkit dan isu berkenaan dasar parti sepatutnya milik beliau, bukan sekadar menyelesaikan hal-hal kecil seperti penubuhan jawatankuasa di peringkat Bahagian dan Cawangan.

“Dalam Pakatan Harapan juga beliau tenggelam. Sepatutnya selaku Presiden, beliau sekurang-kurangnya dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ainul turut berpendapat, peranan Muhyiddin sebagai Presiden parti hanyalah sementara memandangkan Dr. Mahathir lebih berminat untuk mengangkat anaknya yang juga Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Presiden parti itu kelak.
Katanya, peranan Muhyiddin kini lebih seperti Presiden interim sahaja sementara menunggu Mukhriz dinaikkan sebagai Presiden suatu masa nanti.

“Beliau perlu buat sesuatu. Jika begini gayanya, sekiranya beliau kalah dalam PRU-14 nanti, ia akan menjadi penamat kepada karier politik beliau,” katanya.- UTUSAN ONLINE