Kelulusan itu diumumkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Abdul Halim Abd. Samad pada pukul 9.25 malam selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

RUU yang memperuntukkan sejumlah RM280.25 bilion untuk perbelanjaan kerajaan bagi tahun berkenaan diluluskan secara sebulat suara oleh ahli-ahli Dewan Negara.

Ia diluluskan selepas 25 kementerian selesai menggulung semua isu yang dibangkitkan oleh para senator sepanjang sesi perbahasan yang berlangsung lima hari bermula 4 Disember lalu.

Proses penggulungan di peringkat kementerian pula berlangsung selama dua hari berakhir hari ini.

Persidangan dewan bersambung esok pukul 10 pagi.

Pada 27 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat yang mencadangkan peruntukan RM280.25 bilion berbanding RM260.08 dalam Bajet 2017. - UTUSAN ONLINE