Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, desakan tersebut adalah susulan hasrat Pakatan Harapan seperti yang dinyatakan Guan Eng iaitu untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar kepada hanya kepada dua penggal.

“Saya percaya janji itu dengan mudah boleh dipenuhi serta tanpa sebarang kelewatan jika Pakatan Harapan ikhlas untuk menunaikan janji mereka.

“Namun, sekiranya mereka tidak dapat menunaikan janji untuk menghadkan tempoh kepada hanya dua penggal bagi jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang, maka amat jelas para pengundi tidak sepatutnya mempercayai apa terdapat dalam manifesto Pakatan Harapan seperti yang akan diumumkan esok,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, tambah Keng Liang, ketika PRU-14 semakin hampir, tidak memeranjatkan untuk melihat Pakatan Harapan menawarkan pelbagai janji bagi menarik undi rakyat untuk menyokong mereka.

Katanya lagi, janji-janji manis terpaksa ditawarkan lebih-lebih lagi selepas Pakatan Harapan menerima reaksi tidak menyenangkan daripada orang ramai selepas mengumumkan bekas Perdana Menteri selama 22 tahun, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon sementara Perdana Menteri bagi pakatan pembangkang itu.

“Dalam pilihan raya umum pada 2008 dan 2013 sebelum ini, pakatan pembangkang banyak menabur janji namun gagal untuk memenuhinya.

“Ini termasuklah janji untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan di Selangor dan Pulau Pinang serta menyediakan pendidikan percuma yang tidak pernah mereka laksanakan seperti di Universiti Selangor yang terletak di bawah seliaan pentadbiran kerajaan PKR Selangor,” katanya. - UTUSAN ONLINE