Dalam masa sama, beliau yang juga Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Arau sekali lagi mengingatkan kepada pemimpin dan ahli supaya tidak menggunakan media bagi mendedahkan krisis yang berlaku di dalam parti.

“Gunakan saluran yang betul jika tidak berpuas hati dengan kepemimpinan. Pelantikan Pengerusi negeri adalah hak mutlak Pengerusi atau Presiden Bersatu. Kalau kita tolak (pengerusi negeri) seolah-olah kita tidak menghormati keputusan Dr. Mahathir.

“Soal dalaman tak sepatutnya dibawa kepada pengetahuan umum kerana ia akan memberi gambaran tidak baik rakyat terhadap Bersatu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam satu sidang akhbar khas di sini hari ini, hampir keseluruhan kepemimpinan bahagian, cawangan dan sayap-sayap Bersatu tampil mendesak Ameir melepaskan jawatan.

Kesemua mereka yang diketuai Timbalan Pengerusi Bersatu negeri, Izizam Ibrahim itu sepakat menyatakan sudah hilang kepercayaan kepada Ameir dan menyifatkan beliau telah gagal menguruskan parti dengan baik.

Dalam masa sama, mereka juga menuntut Bersatu pusat campur tangan dalam isu ini dengan segera mengambil tindakan terhadap Ameir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Perlis.

Mengulas lanjut, Ammar berkata, pada masa ini, Bersatu negeri sedang menumpukan agenda memantapkan organisasi parti seterusnya memberi fokus bersama Pakatan Harapan untuk menawan Perlis pada pilihan raya nanti.

“Jangan kita rosakkan agenda ini dengan krisis-krisis yang tidak memberi sebarang faedah untuk kebaikan parti ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE